96 Peratus Permohonan MyKad Masyarakat India Diluluskan Bagi Tempoh 2022 Hingga Mei 2026

July 15, 2026

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan bahawa sebanyak 286 daripada 298 permohonan MyKad dalam kalangan masyarakat India telah diluluskan bagi tempoh 2022 hingga 31 Mei 2026, mencatatkan kadar kelulusan sebanyak 96 peratus.

Beliau menyatakan perkara tersebut ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Batu Gajah di Kamar Khas, Parlimen Malaysia pada Ahad berkaitan isu dokumentasi dan pemilikan dokumen pengenalan diri dalam kalangan rakyat Malaysia.

Shamsul Anuar memaklumkan bahawa daripada jumlah keseluruhan permohonan MyKad yang diterima, sembilan permohonan atau tiga peratus gagal manakala tiga permohonan atau satu peratus masih dalam proses.

Bagi permohonan daftar lewat kelahiran dalam kalangan masyarakat India, beliau berkata sebanyak 3,117 permohonan telah diterima dengan 2,810 atau 90.1 peratus diluluskan, 25 permohonan ditolak, 31 dibatalkan, manakala 251 permohonan masih dalam proses.

Berkenaan permohonan kewarganegaraan, beliau memaklumkan sebanyak 1,018 permohonan direkodkan dengan 141 atau 13.9 peratus diluluskan, 257 ditolak, 117 dibatalkan, dan 503 permohonan atau 49.4 peratus masih dalam proses.

“Walaupun sesuatu permohonan telah diluluskan di peringkat KDN, ia masih akan direkod sebagai dalam proses dalam sistem JPN sekiranya sijil tersebut belum dimohon, dicetak, atau diserahkan kepada pemohon. Sehubungan itu, statistik lulus yang direkodkan oleh JPN tidak semestinya menggambarkan sepenuhnya semua permohonan yang telah diberi keputusan lulus oleh KDN dalam tahun semasa,” jelas beliau.

Mengenai langkah kerajaan membantu golongan yang masih berhadapan masalah dokumentasi, Shamsul Anuar menegaskan bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah mengambil pendekatan proaktif melalui pengukuhan program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) yang menghantar pegawai ke kawasan luar bandar, pedalaman, pulau-pulau, dan penempatan masyarakat terpencil termasuk masyarakat orang asli.

“Pendekatan ini kita pastikan rakyat yang menghadapi kekangan akses dan kemampuan untuk hadir ke JPN tidak terpinggir daripada mendapat dokumen pengenalan diri,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan turut memperkukuhkan kerjasama rentas agensi melibatkan ketua kaum, penghulu, ketua isi rumah, dan pihak berkuasa tempatan bagi mempercepatkan proses Pengesahan Komuniti (Community Verification), khususnya bagi kes di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai rekod formal.

Bagaimanapun, Shamsul Anuar menegaskan bahawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak berperanan sebagai orang tengah dalam urusan permohonan dokumentasi di JPN.

“Kita tidak melantik mana-mana NGO untuk menjadi orang tengah bagi urusan ini. Semua urusan dokumentasi tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan dilaksanakan secara terus oleh JPN sebagai pihak yang berautoriti,” tegas beliau.

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2026 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help