809 Pelancong China Diberi Notis Penolakan Masuk

June 13, 2023

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengusir 19,482 pendatang asing tanpa izin (PATI) sehingga 28 Mei lalu dengan 150 daripadanya membabitkan warga China.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata sepanjang tahun ini juga 809 pelancong warga China diberikan ‘Not To Land’ (Notis Penolakan Masuk).

Jumlah itu, katanya hanya membabitkan 0.20 peratus daripada keseluruhan 400,988 pelancong China yang masuk ke negara ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah usaha untuk mengesan warga China yang masuk ke Malaysia sebagai pelancong, tetapi tidak pulang ke negara asal sehingga sekarang.

Shamsul Anuar berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius masalah PATI di negara ini dengan melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan serta tindakan pencegahan bagi mengelakkan berlakunya peningkatan jumlah golongan itu negara ini.

Katanya, bermula 1 Januari hingga 1 Jun lalu , JIM melaksanakan 3,552 operasi penguatkuasaan membabitkan tangkapan 9,377 PATI daripada pelbagai negara dan daripada jumlah itu, hanya 92 orang (0.98 peratus) adalah warga China.

“Untuk makluman kemasukan dan keberadaan warga asing di Malaysia tertakluk kepada dasar, peraturan dan perundangan yang berkuat kuasa.

“Hal ini termasuklah keperluan untuk memiliki dokumen perjalanan sah, mematuhi tempoh keberadaan dibenarkan serta pematuhan kepada syarat pas dikeluarkan,” katanya.

Mengulas langkah diambil bagi mengekang kemasukan pelancong warga China yang berisiko, beliau berkata ia termasuk melakukan proses tapisan awal melalui pengeluaran visa di kedutaan atau pejabat perwakilan Malaysia di China, yang mana tapisan akan dibuat untuk mengenal pasti sama ada warga asing berkenaan telah dimasukkan dalam senarai syak jabatan.

“Jika nama mereka tersenarai dalam senarai syak, warga negara asing ini tidak diberikan kemudahan dan dilarang memasuki Malaysia; kawalan dan pemeriksaan di pintu-pintu masuk negara meliputi pemeriksaan dokumen perjalanan, latar belakang pengembara dan penyemakan identiti melalui E-Gate bagi warga asing (NERS).

“Sistem NERS berupaya merekod maklumat biometrik warga asing serta mengenal pasti ketulenan identiti individu berdasarkan semakan silang dengan maklumat biometrik yang terkandung dalam pangkalan data NERS.

“Kita juga melaksanakan kerjasama strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan agensi berkaitan yang lain bagi memantapkan maklumat warga China yang berisiko ke dalam pangkalan data senarai syak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan 11,309 warga asing kini ditahan di semua depoh imigresen seluruh negara dengan tertinggi membabitkan warga Myanmar.

Katanya, data sehingga 28 Mei lalu menunjukkan 3,997 warga Myanmar atau mewakili 35.3 peratus daripada keseluruhan warga asing ditahan di depoh, diikuti Filipina (3,055 orang, 27 peratus) dan Indonesia (2,811 orang, 24.9 peratus).

“Bagi memastikan usaha pengusiran dilaksanakan dengan cekap dan isu kesesakan atau kepadatan di Depoh Imigresen tidak berterusan, KDN sudah mengambil tindakan secara konsisten.

“Antaranya, melaksanakan pemindahan banduan dari depoh berkapasiti tinggi ke depoh yang kurang berkapasiti tinggi; menggiatkan usaha pengusiran PATI ke negara asal dan mengadakan rundingan secara berkala dengan pihak Perwakilan Asing dan bekerjasama bagi mempercepatkan proses penghantaran pulang tahanan ke negara asal,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/06/1113957/809-pelancong-china-diberi-notis-penolakan-masuk-kdn

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2024 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help