65 Peratus Penagih Jalani Pemulihan Di AADK Tahun Lalu Babitkan Belia, Remaja

September 10, 2023

KUALA LUMPUR: Statistik Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) tahun lalu menunjukkan 65 peratus penagih dadah yang menjalani rawatan dan pemulihan di bawah agensi itu adalah pengguna dadah sintetik terdiri daripada remaja dan belia.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata AADK juga mendapati pola penyalahgunaan dadah di negara ini pada hari ini sudah beralih kepada dadah jenis sintetik.

“Pada tahun 2022, 65 peratus daripada penagih dadah yang menjalani rawatan dan pemulihan di fasiliti AADK adalah mereka yang menyalah guna atau menagih dadah jenis sintetik dan mereka adalah remaja dan belia.

“Lebih membimbangkan, pengambilan dadah jenis sintetik ini tidak lagi perlu di ‘port’ tertentu, sebaliknya dilakukan di dalam rumah masing-masing,” katanya ketika berucap pada Program Perasmian Penutupan Hari AADK Bersama Masyarakat 2023 di Pusat Komuniti IWK Pantai Eco Park, Pantai Dalam, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahamd Belok danPengarah Pencegahan AADK Zainudin Abdullah.

Shamsul berkata, dadah sintetik ini selain rupa bentuk dan pembungkusannya boleh menyamai produk biasa, penghasilannya juga boleh dibuat di rumah.

“Bukan setakat itu, akses untuk mendapatkan dadah sintetik ini semudah hanya dengan membuat pesanan melalui platform dalam talian dan dihantar melalui khidmat penghantaran yang sama dengan produk lain,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, kementeriannya berpandangan bahawa kawalan kendiri oleh institusi kekeluargaan dan masyarakat setempat amat diperlukan bagi menghadapi ancaman ini.

“Ketua keluarga perlu menjaga rumah masing-masing sebagaimana KDN mengawal negara.

“Kami yakin langkah sedemikian akan dapat menyekat permintaan dan pada masa yang sama mengurangkan permintaan kepada bekalan dadah dan bahan terlarang di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya AADK mengenal pasti 155 kawasan berisiko tinggi (KBT) yang disasarkan untuk ditukar kepada kawasan berisiko rendah secara berperingkat.

AADK menyasarkan untuk menurunkan risiko dan mengekalkannya di bawah kategori risiko rendah penagihan dadah di semua kawasan itu menjelang akhir 2025.

“Sehingga Ogos lalu, AADK sudah mencapai sasaran 73 KBT atau 47 peratus yang berjaya diturunkan risikonya ke tahap rendah.

“Sasaran KDN (Kementerian Dalam Negeri) pada akhir tahun ini adalah 78 daripada 155 KBT akan berada di tahap risiko rendah,” katanya.

Shamsul berkata, semua KBT yang berjaya diturunkan tahap risiko iaitu Kawasan Bebas Dadah (KBD) akan diserah pemilihakkan kepada masyarakat setempat untuk menjaga dan mengekalkan status berkenaan.

“Sehingga hari ini, sebanyak 16 kawasan yang berjaya ditukar daripada status KBT ke KBD pada 2021 akan diserah pemilihakkan kepada masyarakat setempat.

“Penyerahan ini adalah satu bentuk pemerkasaan komuniti kepada masyarakat setempat untuk terus menjaga kawasan ini daripada ancaman penyalahgunaan dadah dan pelencongan sosial,” katanya.

Dalam pada itu, katanya kajian prevalen penagihan dadah dalam kalangan belia di Malaysia dijalankan oleh KDN bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun lalu mendapati setiap 100 belia, enam daripadanya mengaku pernah mengambil dadah sepanjang hayatnya, manakala empat orang mengaku masih aktif mengambil dadah.

“Kegusaran dapatan ini mendorong AADK untuk mempergiatkan usaha memberikan kesedaran dan mendidik golongan remaja dan belia untuk menjauhi penagihan dadah.

“Satu strategi diambil AADK adalah menubuhkan SKUAD Antidadah yang terbuka kepada golongan belia di negara ini,” katanya yang memaklumkan keahlian skuad berkenaan sudah mencecah 100,000 orang.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/09/1151094/65-peratus-penagih-jalani-pemulihan-di-aadk-tahun-lalu-babitkan

Harian Metro: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/09/1008444/65-peratus-penagih-dadah-adalah-remaja-belia
Sinar Harian: https://www.sinarharian.com.my/article/278305/berita/nasional/aadk-berjaya-pulihkan-73-kawasan-panas-penagihan-dadah

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2023 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help