KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melantik 600 veteran Angkatan Tentera Malaysia (VAT) serta Orang Asli (OA) sebagai renjer hidupan liar bawah Program Perlindungan Biodiversiti dan Rondaan (BP3), setakat Jun lalu.
Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata pelantikan itu bagi meningkatkan bilangan renjer, selain sebagai pengiktirafan kerajaan terhadap peranan mereka berkorban mempertahankan sumber kekayaan dan khazanah semula jadi negara.
“Renjer adalah ‘frontliner’ (anggota barisan hadapan) sebagai benteng membanteras pencerobohan untuk melindungi biodiversiti.
“Renjer di negara ini berkhidmat dalam pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri, malah ada sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut memainkan fungsi itu,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Renjer Sedunia 2021, hari ini.
Hari Renjer Sedunia disambut pada 31 Julai bagi menghargai dan mengiktiraf peranan serta tanggungjawab dimainkan renjer selaku pejuang belantara memastikan sumber semula jadi dan biodiversiti negara dilindungi.
Sambil mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada renjer seluruh negara, Shamsul Anuar berkata, kerajaan berterima kasih kepada anggota berkenaan yang sentiasa komited melaksanakan tugas, walaupun ketika pandemik COVID-19.
“Tugasan melindungi hidupan liar, habitat semula jadi, menangani konflik manusia dan hidupan liar, menguruskan kawasan perlindungan serta penguatkuasaan tetap dijalankan dengan penuh dedikasi.
Selamat Menyambut Hari Renjer Sedunia Tahun 2021,” katanya. – BERNAMA
Bernama: https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1987819
Sinar Harian: https://www.sinarharian.com.my/article/152984/BERITA/Nasional/600-VAT-orang-asli-jadi-renjer-hidupan-liar