347 Serbuan Perlombongan Kripto Haram Di Manjung, 93 Ditangkap

July 9, 2026

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah melaksanakan sebanyak 347 operasi serbuan terhadap aktiviti perlombongan mata wang kripto secara haram di Daerah Manjung, Perak dari tahun 2022 hingga 2025, sekali gus membawa kepada tangkapan 93 individu serta rampasan 6,913 buah mesin perlombongan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan perkara tersebut ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Beruas dalam sesi Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjelaskan bahawa mata wang kripto di Malaysia adalah sah untuk dimiliki dan didagangkan, namun tidak diiktiraf sebagai mata wang yang sah (legal tender). Sebaliknya, ia diklasifikasikan sebagai aset digital dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di bawah Capital Markets and Services (Digital Currency and Digital Token) Order 2019 serta garis panduan berkaitan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti.

“Kesalahan jenayah yang dimaksudkan adalah aktiviti perlombongan mata wang kripto yang dijalankan secara haram, iaitu kerana penyambungan bekalan elektrik secara tidak sah, pengubahsuaian meter, atau pencerobohan sistem bekalan elektrik sehingga mengakibatkan kerugian kepada pemegang lesen bekalan elektrik, serta penggunaan lokasi perlombongan yang tidak mendapat lesen,” jelas beliau.

Menurut Shamsul Anuar, PDRM menjalankan siasatan terhadap kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (Akta 574) berkaitan khianat serta mana-mana peruntukan lain yang berkaitan berdasarkan fakta kes. Bagi kesalahan melibatkan kecurian bekalan elektrik, tindakan diambil di bawah Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) oleh agensi yang mempunyai bidang kuasa dengan kerjasama erat PDRM.

Bank Negara Malaysia turut memantau aspek kestabilan kewangan, sistem pembayaran serta pematuhan terhadap keperluan anti-pengubahan wang haram (anti-money laundering) berhubung aktiviti berkaitan aset digital.

Beliau menegaskan bahawa kegiatan pencurian bekalan elektrik melalui manipulasi meter secara besar-besaran dan berleluasa telah mengakibatkan kerugian hasil negara serta gangguan bekalan elektrik kepada komuniti setempat.

Berhubung dakwaan terdapat anggota polis, pekerja TNB dan Majlis Daerah Manjung yang bersubahat dalam aktiviti tersebut, Shamsul Anuar menegaskan bahawa hasil siasatan yang dijalankan setakat ini mendapati tiada mana-mana pihak berkenaan yang terlibat.

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2026 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help