LENGGONG: Sejumlah 3,000 hektar hutan simpan di Perak diteroka secara haram sehingga kini, kata Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad.
Bagaimanapun, beliau berkata, masalah itu sedang dan sudah ditangani Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNP) dengan lima kes sudah didakwa, manakala beberapa kes lain sedang disiasat.
“Hampir semua kes yang berlaku di negeri ini disyaki dilakukan oleh beberapa individu yang sama dengan menebang dan mengambil kayu secara tidak sah dari hutan dan menjualnya.
“Sebilangan mereka yang lain pula terus mengusahakan tanaman di tanah yang sudah ditebang dan ditebas itu. Aktiviti penerokaan tanah hutan ini dilakukan secara haram,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Penghijauan Malaysia Peringkat Negeri Perak di Dataran Tasik Raban, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Ridza Awang dan Pengarah JPNP, Datuk Mohd Zin Yusop.
Saarani berkata, kerajaan negeri meminta pihak yang terbabit supaya menghentikan segera kegiatan haram itu kerana aktiviti pengambilan kayu dan penerokaan tanah mempunyai undang-undang khusus dan perlu mengikut peraturan.
“Sekiranya aktiviti pembalakan dan penerokaan tanah dilakukan secara haram, banyak kesan negatif yang akan berlaku dan antaranya menyebabkan banjir lumpur,” katanya.