24 Pasukan Rebut RM34,000 Di Pesta Bola Sepak Lenggong Geopark
LENGGONG – Pesta Bola Sepak Lenggong Geopark (9 Sebelah Terbuka Malaysia) bagi Piala YB Dato’ Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menyaksikan penyertaan 24 pasukan yang berentap merebut hadiah keseluruhan bernilai RM34,000.
Kejohanan ini bukan sahaja melibatkan pasukan tempatan, malah turut disertai pasukan dari beberapa negeri dan daerah termasuk Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Melaka, Kedah, Ipoh dan Taiping, sekali gus memperlihatkan sambutan yang meluas terhadap penganjuran tersebut.
Pada pagi ini, YB Dato’ Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah telah meninjau perjalanan kejohanan di Padang Majlis Daerah Lenggong pada jam 10.30 pagi. Lawatan pemantauan itu turut diiringi Cikgu Yusof Ahmad, Setiausaha Persatuan Bola Sepak Lenggong.
Penganjuran pesta bola sepak ini diadakan bersempena Lenggong Dialog 2026 yang dijadualkan berlangsung pada November atau Disember 2026, sebagai sebahagian inisiatif memeriahkan program berkenaan serta menggalakkan penglibatan komuniti melalui aktiviti sukan.
Kejohanan ini turut dilihat sebagai platform untuk mengukuhkan hubungan antara pasukan, mencungkil bakat baharu dalam sukan bola sepak, serta memperkasakan imej Lenggong sebagai lokasi penganjuran acara berimpak tinggi.

