24 Anggota Polis Dipecat Kerana Rasuah Sejak 2023 – KDN

November 26, 2025

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan seramai 24 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dibuang kerja akibat kesalahan rasuah dalam tempoh tiga tahun bermula 2023 hingga Oktober tahun ini.

Timbalan Menteri KDN, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, tindakan disiplin itu menunjukkan usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh integriti pasukan keselamatan.

“Sebanyak lapan pemecatan berlaku pada 2023, empat pada 2024 dan 12 lagi direkodkan dari Januari hingga Oktober tahun ini,” katanya ketika sesi penggulungan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 bagi Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, KDN dan PDRM memperluas mekanisme pencegahan salah laku melalui pelaksanaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR), pemantauan gaya hidup serta tindakan penguatkuasaan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

Beliau berkata, sebuah sistem pencegahan rasuah PDRM yang bersepadu sedang dibangunkan bagi mengesan dan memantau risiko rasuah secara sistematik.

“Menerusi beberapa siri bengkel, sebanyak 43 risiko rasuah dikenal pasti melalui Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) dan Penilaian Risiko Rasuah (CRA),” jelasnya.

Shamsul turut mengingatkan, aduan awam terhadap salah laku polis boleh dikemukakan terus kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) untuk siasatan bebas.

Beliau menegaskan, walaupun terdapat pegawai yang dikenakan tindakan tegas, majoriti warga PDRM terus mengekalkan disiplin dan profesionalisme.

“Pada tahun 2025 sahaja, seramai 41 pegawai menerima sijil pengiktirafan ‘Tolak Rasuah’, membuktikan komitmen anggota yang kekal berintegriti,” ujarnya.

Sumber: https://malaysiagazette.com/2025/11/26/24-anggota-polis-dipecat-kerana-rasuah-sejak-2023-kdn/

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2026 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help