213 Rakyat Malaysia Ditahan Di Luar Negara Kerana Jadi Keldai Dadah

November 5, 2026

KUALA LUMPUR – Seramai 213 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana disyaki menjadi keldai dadah bagi tempoh 2024 hingga September lalu, susulan taktik sindiket pengedaran dadah yang semakin menyasarkan golongan muda.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, sindiket memperdaya golongan muda, termasuk pelajar dan graduan institusi pengajian tinggi, menerusi tawaran pekerjaan bergaji lumayan, pakej percutian, tiket penerbangan, penginapan serta imbuhan kewangan.

Beliau berkata, tawaran yang kelihatan menarik itu sebenarnya mempunyai risiko keselamatan sangat serius apabila individu terbabit dipergunakan untuk membawa dadah merentasi sempadan negara.

“Sindiket ini turut memanfaatkan media sosial, platform e-dagang dan aplikasi komunikasi untuk mempromosi, mendapatkan pelanggan serta menjalankan urus niaga jual beli dadah.

“Antara modus operandi dikenal pasti termasuk penggunaan akaun palsu, kumpulan tertutup, komunikasi sementara, pembayaran tanpa tunai dan e-dompet, selain penghantaran melalui perkhidmatan kurier menggunakan kaedah bayaran tunai ketika pesanan dihantar (COD) dan lokasi serahan,” katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan daripada Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan langkah bersepadu kerajaan bagi menangani sindiket pengedaran dadah yang menyasarkan golongan muda, graduan universiti dengan menawarkan imbuhan lumayan bagi menarik mereka terbabit menjadi keldai dadah serta modus operandi terbaru yang menyalahgunakan platform e-dagang dan pasaran dalam talian bagi tujuan penjualan dadah.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan risikan dan penguatkuasaan siber secara berterusan.

Katanya, ini termasuk pemantauan serta siasatan 24 jam sehari dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), penyedia platform digital dan syarikat kurier.

“Hasilnya, 87 akaun disekat pada 2025, manakala 49 akaun lagi disekat sepanjang tahun ini.

“Kerajaan juga memfokus kepada usaha melumpuhkan keseluruhan rangkaian, keupayaan kewangan sindiket dengan kerjasama institusi kewangan, penyedia platform dan syarikat kurier bagi mengesan dan menyekat aliran pembayaran dan penghantaran serta melaksanakan pendekatan ‘follow the money’.

“Selain itu, kerajaan turut memperkukuh usaha pencegahan melalui pendidikan, kesedaran dan mobilisasi komuniti, khususnya dalam kalangan golongan muda bagi mengelakkan mereka terpedaya dengan tawaran sindiket,” katanya.

Sumber : Harian Metro

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2026 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help