158 Mangsa Penipuan Pekerjaan Di Luar Negara Masih Terkandas

December 7, 2023

KUALA LUMPUR – Seramai 158 mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara masih terkandas di negara destinasi setakat November lepas, Dewan Negara diberitahu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, angka itu adalah daripada jumlah keseluruhan mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan yang dilaporkan membabitkan seramai 428 orang.

“Sehingga 20 November lepas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelamatkan 270 mangsa warganegara tempatan yang terjebak dengan sindiket jenayah penipuan pekerjaan ini.

“Daripada statistik laporan polis dan mangsa di negara destinasi, sebanyak 325 laporan polis diperoleh melibatkan negara Myanmar, Kemboja, Laos dan lain-lain,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Teo Eng Tee yang ingin mengetahui tindakan komprehensif diambil kementerian dalam menangani masalah kes penipuan dalam talian yang mengandungi unsur penyeludupan manusia oleh sindiket untuk bekerja secara paksa di luar negara.

Shamsul Anuar berkata, dalam hal ini pelbagai usaha dilaksanakan termasuk mengadakan operasi bersepadu secara berterusan dalam usaha menangani sindiket penipuan pekerjaan di luar negara dan menyelamatkan mangsa.

“Dalam usaha tangani masalah ini, di peringkat PDRM sudah jalankan empat siri operasi bersepadu bermula Ogos 2022 hingga Julai tahun ini dan hasilnya empat sindiket di Lembah Klang dan Johor ditumpaskan.

“Melalui siri operasi ini, 12 tangkapan dibuat melibatkan warga tempatan dan siasatan di bawah Seksyen 12 dan 14 Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670),” katanya.

Beliau berkata, antara usaha lain yang dijalankan termasuk mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkuasa Kemboja, Thailand, Myanmar dan Laos bagi perkongsian maklumat dan penyelesaian dalam misi menyelamatkan mangsa.

“Kami juga mengenal pasti sindiket yang menjadi dalang terutamanya ejen pekerjaan berada di Malaysia dan menjalankan siasatan komprehensif bagi menghasilkan pendakwaan. Usaha lain termasuk meningkatkan kesedaran awam dan tahap kefahaman pelbagai lapisan masyarakat termasuk penduduk di kawasan luar bandar mengenai operasi sindiket terbabit,” katanya. – Bernama

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/638487/berita/nasional/158-mangsa-penipuan-pekerjaan-di-luar-negara-masih-terkandas

Bernama: https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2251847
Utusan: https://www.utusan.com.my/nasional/2023/12/dewan-negara-158-mangsa-sindiket-penipuan-pekerjaan-di-luar-negara-masih-terkandas/

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2023 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help