KDN Anjur Luncheon Talk Bersama Media
CYBERJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menganjurkan Program Luncheon Talk YB Menteri Dalam Negeri Bersama Media pada 28 Januari 2026 bertempat di Cyberjaya. Program ini merupakan satu inisiatif penting yang menghimpunkan pihak kementerian bersama wakil-wakil media dalam suasana santai namun penuh bermakna.
Menurut Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, Timbalan Menteri Dalam Negeri yang turut hadir dalam program tersebut, sesi ini menjadi platform strategik kepada YB Menteri Dalam Negeri untuk berkongsi pencapaian KDN sepanjang tahun 2025. Selain itu, beliau juga mengambil peluang untuk memperincikan inisiatif utama kementerian yang akan dilaksanakan pada tahun 2026, selaras dengan matlamat memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan negara.
Program ini juga bertujuan memperkukuh hubungan serta kerjasama erat antara KDN dan rakan-rakan media. Melalui sesi dialog dan perkongsian maklumat, kedua-dua pihak dapat meningkatkan kefahaman serta memperbaiki saluran komunikasi dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat.
Kehadiran para media dalam program ini membuktikan komitmen KDN untuk terus bekerjasama rapat dengan pengamal media demi memastikan segala dasar dan inisiatif kementerian dapat disampaikan secara berkesan kepada rakyat. Program seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuh hubungan strategik antara kerajaan dan media.

