Shamsul Ingatkan Jangan Ada Pembalakan Di Kawasan Geopark
JANGAN ADA PEMBALAKAN!
Itulah penegasan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, berhubung kepentingan memelihara kawasan Lenggong daripada sebarang aktiviti pembalakan. Pengiktirafan Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, Lenggong Geopark, dan kini bersedia ke arah Lenggong UNESCO Global Geopark menjadikan kawasan ini sangat penting kepada Malaysia dan dunia kerana nilai sejarah, arkeologi, warisan, budaya, serta keindahan alam semula jadi yang diliputi hutan, batuan, sungai, dan tasik bertaraf dunia.
Perkembangan ini telah membawa perubahan besar dari segi pembangunan, khususnya dalam sektor pelancongan, sekali gus memberi impak ekonomi yang positif kepada kerajaan dan rakyat. Lenggong kini menjadi kawasan tarikan baharu, menjana pendapatan melalui pelbagai kegiatan ekonomi termasuk pelaburan dalam sektor penginapan seperti resort dan chalet.
Selain itu, pelbagai institusi pendidikan tinggi seperti UTM, UiTM, UKM, dan beberapa lagi termasuk Yayasan Hasanah melalui Think City telah mula menjalankan aktiviti di kawasan Lenggong Geopark. Banyak pihak kini sedang mengadakan perbincangan untuk membangunkan kawasan ini kerana keindahan dan nilai yang dimiliki.
Namun, sekiranya aktiviti pembalakan dibenarkan di kawasan seperti Hutan Piah, Hutan Bintang Hijau, Hutan Simpan Air Chepam, Hutan Simpan Papulut, dan kawasan lain, ia akan menjejaskan usaha mengekalkan pembangunan Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan Lenggong UNESCO Global Geopark. Nilai bertaraf dunia dan keindahan alam semula jadi akan musnah akibat kegiatan pembalakan.
Menyedari kepentingan mengekalkan kawasan Parlimen Lenggong sebagai kawasan bernilai tinggi dan bertaraf dunia, saya bersama pimpinan kampung dalam mesyuarat bersama Penghulu dan Ketua Kampung Daerah Kecil Lenggong pada 24 Disember 2025 sepakat meminta agar pembalakan tidak diadakan di kawasan Lenggong Geopark. Kami mencadangkan agar Kerajaan Negeri Perak memfokuskan pembangunan yang lebih mampan dan berdaya saing dengan mempelbagaikan sumber pendapatan melalui sektor inovatif dan bernilai tambah tinggi, demi mengurangkan kebergantungan kepada pembalakan serta memastikan kesejahteraan alam sekitar dan ekonomi jangka panjang.
Semua ini penting kerana hutan dan hidupan di dalamnya adalah warisan masa depan negara dan dunia. Kami mahu usaha mengekalkan hutan sebagai aset utama dan penting di kawasan Parlimen Lenggong diteruskan demi pembangunan Lenggong UNESCO Global Geopark dan Lenggong Tapak Warisan Dunia UNESCO.

