Kewujudan Pusat Komuniti Lenggong merupakan satu lagi detik bermakna dalam perjalanan pembangunan kawasan Lenggong. Menurut Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, pusat ini membuktikan satu lagi langkah ke arah menaikkan nama Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan Lenggong Geopark.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pusat Komuniti Lenggong. “Pada pagi 20 Disember 2025 jam 10.00 pagi, saya bersyukur dapat bersama-sama komuniti Lenggong bagi merasmikan Pusat Komuniti Lenggong,” ujar beliau.
Penubuhan pusat ini bukanlah hasil usaha sehari dua, tetapi merupakan perancangan jangka panjang, komitmen berterusan dan kerjasama erat antara pelbagai pihak seperti Think City, Yayasan Hasanah, Universiti Teknologi Malaysia, Majlis Daerah Lenggong, serta yang paling penting, komuniti Lenggong sendiri.
Majlis perasmian turut dihadiri oleh Yang Berusaha Tuan Mohd Amzari bin Mohd Arzami, Yang Dipertua Majlis Daerah Lenggong; YBrs. Prof. Sr. Dr. Kherun Nita Ali, Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM; YBrs. TPr Dr. Norhazliza Abd. Halim, Pengarah Program; dan YBhg. Dato’ Hamdan Abdul Majeed, Pengarah Urusan Think City.
Turut hadir ialah rakan-rakan strategik, para pemimpin komuniti, wakil-wakil media, serta pelbagai pihak terutama usahawan dan penggiat industri pelancongan di kawasan Lenggong Geopark. Penubuhan pusat ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti dan pelancongan di Lenggong.



