1,018 Permohonan Kewarganegaraan Di Sabah Bakal Dipertimbang

July 17, 2026

KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) komited untuk mempercepatkan dan menambah baik proses permohonan kewarganegaraan serta pendaftaran kelahiran lewat, termasuk pengurangan tempoh menunggu dan peningkatan ketelusan penyampaian maklumat kepada pemohon.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata beberapa langkah telah dan sedang dilaksanakan bagi mencapai tujuan tersebut, termasuk penambahbaikan Prosedur Operasi Standard (SOP), penyelarasan dan semakan berkala bagi memperkemas proses semakan dokumen serta siasatan tanpa menjejaskan pematuhan kepada peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Kementerian telah menambah baik SOP bagi permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A, Perkara 15(2), dan Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan, dengan menetapkan tempoh pemprosesan selama satu tahun bermula daripada tarikh penerimaan dokumen lengkap sehingga keputusan dimuktamadkan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Sandakan di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata langkah tersebut bertujuan mempercepatkan penyelesaian permohonan dan mengurangkan tempoh menunggu yang selama ini menjadi keluhan pemohon.

Shamsul Anuar turut memaklumkan bahawa bagi pendaftaran lewat kelahiran, permohonan kini boleh diterima di semua pejabat JPN di seluruh negara serta melalui program MEKAR yang diperluaskan terutama di kawasan luar bandar dan kawasan yang sukar diakses oleh rakyat.

“Kuasa membuat keputusan bagi permohonan daftar kelahiran lewat turut diturunkan kepada JPN negeri bagi mempercepatkan proses pertimbangan dan penyelesaian kes,” katanya.

Beliau menambah kerjasama strategik antara JPN, kerajaan negeri, pimpinan komuniti, hospital, sekolah, agensi kebajikan, dan pertubuhan bukan kerajaan terus dipertingkat bagi mengenal pasti individu yang masih belum memiliki dokumen pengenalan diri serta membantu mereka melengkapkan dokumen sokongan yang diperlukan.

Sesi libat urus bersama agensi berkaitan turut dilaksanakan, selain penggunaan sistem semakan status permohonan kewarganegaraan melalui sistem MyJanjiTemu dan khidmat talian JPN bagi meningkatkan kecekapan penyampaian di semua peringkat.

Mengenai statistik permohonan di Sabah, Shamsul Anuar memaklumkan bahawa bagi tempoh 2025 hingga 31 Mei 2026:

  • Kewarganegaraan: 10 permohonan telah diluluskan dan sijil diserahkan kepada pemohon, manakala 3,640 permohonan masih dalam proses pertimbangan.
  • Pendaftaran kelahiran lewat: 2,659 permohonan telah diluluskan, manakala 611 permohonan masih dalam proses.

Beliau menjelaskan statistik “lulus” yang direkodkan oleh JPN merujuk kepada permohonan yang telah mendapat keputusan lulus dan sijil kewarganegaraan telah dicetak serta diserahkan kepada pemohon, bukan sekadar kelulusan di peringkat KDN.

“Walaupun sesuatu permohonan telah diluluskan di peringkat KDN, ia masih direkodkan sebagai dalam proses dalam sistem JPN sekiranya sijil tersebut belum dicetak dan diserahkan kepada pemohon,” jelasnya.

Bagi mempercepatkan proses pertimbangan permohonan warganegara di Sabah, beliau berkata Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan peringkat negeri dijangka mengadakan mesyuarat pada hujung Julai atau awal Ogos ini, dengan sebanyak 1,018 permohonan dijadualkan untuk dibawa bagi tujuan pertimbangan.

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2026 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help